Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Let’s Raya 2024, acara fesyen eksklusif bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri kembali lagi buat kali ke-3 yang akan diadakan pada awal April depan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sehubungan itu, Thevent Co selaku penganjur acara berkenaan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan-rakan acara termasuk Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), NBT Brunei, Cuckoo dan banyak lagi.
Majlis penandatanganan berlangsung di D’Sunlit Sdn Bhd, Beribi di mana menandatangani bagi pihak Thevent Co ialah Awang Hambali bin Pehin Dato Haji Mohd Salleh bersama dengan rakan-rakan kongsi yang terlibat.
Dengan tema The Splendour Awaits, Let’s Raya diilhamkan daripada trend pengguna masa kini yang memfokuskan kepada rekaan pakaian yang lebih elegan dan berkualiti.
Selaras dengan itu, Thevent Co menghimpunkan personaliti terkenal dan jenama berprestij, mewujudkan ekstravaganza membeli-belah yang tiada tandingannya dan menjemput pereka ternama seperti Rizman Ruzaini, Three Little Ahmads dan Ali Reza serta Siti Khadijah.
Menyertai barisan vendor ialah tokoh terkenal termasuk Puteri Sarah dan Ika Nabilah, yang menawarkan pilihan susun atur fesyen, aksesori dan produk gaya hidup.
Semasa acara empat hari itu, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan barangan fesyen dan gaya hidup termasuk pakaian raya, alat solek, aksesori kediaman dan banyak lagi.


