Letupan: 6 ditahan

BEIJING, 14 April – Polis telah menahan enam orang suspek yang dikaitkan dengan satu letupan kilang kimia di timur China pada bulan lalu yang membunuh 78 orang dan meninggalkan ratusan orang cedera, kata pihak berkuasa tempatan. Letupan di bandar Yancheng wilayah Jiangsu pada bulan lalu ialah salah satu kemalangan industri paling teruk di negara dalam beberapa tahun ini dan membawa kepada penutupan kilang berkenaan.

Enam orang pekerja dari syarikat Jiangsu Tianjiayi Kimia, dengan kilangnya terbabit dalam letupan, mempunyai ‘tanggungjawab besar’ berhubung kejadian itu, kata kerajaan Yancheng semalam dalam satu kenyataan ringkas di laman Weibo.

Ia berkata ‘langkah jenayah yang keras’ telah pun diambil ke atas mereka – istilah yang tidak jelas yang menandakan penahanan, pemenjaraan atau ditempatkan di bawah penahanan dalam rumah sementara sehingga polis menyelesaikan siasatan mereka, menurut satu penjelasan di laman web parlimen China.

Tiga orang lain juga telah ditahan berhubung dengan letupan berkenaan. Kenyataan menambah tindakan juga akan diambil ke atas Jiangsu Tianjiayi Kimia, serta pemegang saham majoriti, Kumpulan Jiangsu Nijiaxiang.

Letupan pada 21 Mac meranapkan taman perindustrian dan memecah tingkap rumah berhampiran.

Syarikat itu, dengan 195 pekerja, ditubuhkan pada tahun 2007 dan menghasilkan bahan kimia mentah termasuk anisol, sebatian yang mudah terbakar.

Ia mempunyai sejarah melanggar peraturan alam sekitar, menurut rekod online daripada biro alam sekitar dan ekologi bandar Yancheng. – AFP