Saturday, September 21, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan alat kelui Lubnan: Dua warga Taiwan disiasat

    TAIPEI, 20 SEPT – Dua individu daripada syarikat Taiwan disoal siasat beberapa kali sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap alat kelui yang meletup ketika digunakan oleh operatif Hizbullah di Lubnan, kata penyiasat Taipei hari ini.

    Persoalan dan spekulasi timbul mengenai dari mana peranti itu dihasilkan dan bagaimana ia dibekalkan kepada Hizbullah, selepas ratusan alat kelui dan radio saku meletup di seluruh Lubnan pada Selasa dan Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan hampir 3,000 orang.

    The New York Times melaporkan minggu ini bahawa Israel telah memasukkan bahan letupan ke dalam alat kelui yang dihantar dari Gold Apollo Taiwan, memetik pegawai Amerika dan pegawai-pegawai lain yang tidak dinamakan.

    Namun, ketua Gold Apollo, Hsu Ching-kuang menafikan mengeluarkan peranti itu, sebaliknya menuding jari kepada rakan kongsi yang berpangkalan di Hungary, BAC Consulting KFT, yang dibenarkan menggunakan tanda dagangannya.

    Kelmarin, sebagai sebahagian daripada siasatan oleh penyiasat Taiwan, Hsu dan seorang wanita dari syarikat lain telah disoal siasat oleh pendakwa raya.

    Media tempatan melaporkan bahawa wanita yang disoal siasat itu ialah Wu Yu-jen, seorang wakil yang berkaitan dengan BAC Consulting KFT, yang telah menubuhkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Taipei bernama ‘Apollo Systems’.

    “Negara kita memandang serius kes ini,” kata pejabat pendakwa raya dari daerah Shilin Taipei dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kami mengarahkan stesen keselamatan negara Biro Penyiasatan untuk menemu bual dua orang daripada syarikat Taiwan sebagai saksi kelmarin.” – AFP

    Hsu bercakap kepada media di luar pejabat syarikat Gold Apollo di New Taipei City, Taiwan pada 18 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda