SANTO DOMINGO, 15 OGOS – Letupan kuat menggegarkan kawasan pasar yang sibuk berhampiran ibu negara Republik Dominika pada kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan lebih 30 yang lain ketika orang ramai cuba melarikan diri di tengah-tengah huru-hara, kata pihak berkuasa.
Letupan berlaku di sebuah kedai roti di bandar San Cristobal, yang terletak di sebelah barat Santo Domingo, kata sistem 911 negara itu dalam satu kenyataan.
Kereta hangus dan serpihan dari beberapa bangunan runtuh memenuhi jalan ketika asap hitam tebal naik dari pusat bandar dan menyelubungi beberapa blok, mendorong perniagaan berpindah sementara orang ramai berkumpul untuk merakam kejadian itu. Ada yang mengatakan mereka menyangka ia adalah bom atau gempa bumi.
Tidak jelas apa yang menyebabkan letupan itu, yang menurut pegawai mencetuskan kebakaran yang merebak dari kedai roti ke kedai perkakasan yang terletak bersebelahan dan kedai perabot berhampiran.
Kejadian itu berlaku petang kelmarin di kawasan yang dikenali sebagai ‘Pasar Lama’, di mana ramai orang membeli-belah setiap hari untuk barangan daripada buah-buahan hingga pakaian. Mangsa adalah anak damit berusia empat bulan yang meninggal dunia akibat kecederaan kepala dan dua orang dewasa yang mayatnya melecur 90 peratus, menurut kenyataan Dr Mario Lama, pengarah Perkhidmatan Kesihatan Negara. Sebuah bank tempatan mengesahkan seorang pekerja wanitanya maut dalam letupan itu.
Sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan cedera setakat lewat malam kelmarin.
Angka kematian dijangka meningkat, dengan anggota bomba tidak dapat memasuki bangunan tertentu semasa mereka terus memadamkan kebakaran.
Ketika pegawai kesihatan mengumumkan kematian tiga orang, pihak berkuasa pertahanan awam dapat dilihat mengangkat mayat dua orang yang terbaring di jalan berhampiran tapak yang terbakar beberapa jam selepas letupan. – AP
