Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan bom berani mati di Pakistan, 26 orang terbunuh

    QUETTA, 10 NOV – Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah stesen kereta api di barat daya Pakistan yang bergolak kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya 26 orang termasuk anggota tentera dan kakitangan kereta api, serta mencederakan kira-kira 62 orang lain, dengan beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal, menurut pegawai.

    Serangan itu berlaku ketika hampir 100 penumpang sedang menunggu kereta api untuk perjalanan ke bandar garnisun Rawalpindi dari Quetta, ibu kota wilayah Balochistan, kata Hamza Shafqaat, seorang pentadbir kanan kerajaan.

    Ketika ditanya mengenai kelemahan keselamatan yang membawa kepada serangan tersebut, Shafqaat memberitahu wartawan, “biasanya adalah sangat sukar untuk menghentikan serangan berani mati seperti ini.”

    Namun, Shahid Nawaz, yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di stesen kereta api Quetta, menegaskan tiada pelanggaran keselamatan kerana penyerang menyamar sebagai penumpang dan meletupkan dirinya dalam kalangan orang ramai di stesen itu.

    Rakaman televisyen menunjukkan struktur bumbung platform yang diperbuat daripada keluli hancur dan sebuah gerai teh yang musnah. Bagasi berselerak di merata tempat. Kebanyakan mangsa dibawa ke hospital milik kerajaan dan sebahagian lagi ke hospital tentera.

    Wasim Baig, jurucakap jabatan kesihatan dan polis, berkata lebih sedozen tentera dan enam kakitangan kereta api termasuk antara mangsa yang maut di stesen tersebut, di mana sebuah pintu pengesan bahan letupan telah dipasang untuk memeriksa jika ada yang membawa bahan letupan. Namun, terdapat beberapa pintu masuk lain ke stesen itu yang tidak dilengkapi dengan kawalan keselamatan sedemikian.

    Kumpulan pemisah, Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu kenyataan, dengan menyatakan bahawa pengebom berani mati menyasarkan tentera yang berada di stesen kereta api tersebut. BLA yang diharamkan telah lama melancarkan pemberontakan untuk menuntut kemerdekaan daripada Islamabad.

    Seorang pegawai kanan operasi polis, Muhammad Baloch, berkata kumpulan pemisah kerap menyerang sasaran lemah.

    “Apabila orang mereka ditangkap, mereka juga melancarkan serangan sebagai tindakan balas. Kami semua perlu berjuang dalam peperangan ini. Kami tabah. Pasukan kami berada di sini dan berusaha menyelamatkan seramai mungkin nyawa.” – AP

    Pegawai keselamatan memeriksa tapak letupan bom di stesen kereta api di Quetta, barat daya Pakistan, pada 9 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda