Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan bom di Athens, tiada sebarang kecederaan dilaporkan

    ATHENS, 13 APRIL – Menurut pihak berkuasa, sebuah bom yang telah dipasang berhampiran pejabat Hellenic Train, telah meletup pada malam Jumaat di sebuah kawasan sibuk di tengah Athens. Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    Letupan itu berlaku ketika kemarahan orang ramai masih memuncak susulan tragedi nahas kereta api paling buruk dalam sejarah Greece 2023, yang mengorbankan 57 nyawa dan mencederakan puluhan lagi.

    Insiden itu berlaku apabila sebuah kereta api penumpang dan sebuah kereta api kargo yang bergerak dari arah bertentangan diletakkan secara tidak sengaja di atas landasan yang sama.

    Media tempatan turut melaporkan, sebuah akhbar dan laman berita telah menerima panggilan tanpa nama sejurus sebelum letupan Jumaat itu, dengan pemanggil memberi amaran bom telah ditanam di luar pejabat syarikat kereta api dan akan meletup dalam masa kira-kira 40 minit.

    Dalam satu kenyataan lagi, syarikat Hellenic Train telah memaklumkan letupan berlaku “sangat hampir dengan pejabat pusatnya” dan hanya menyebabkan kerosakan kecil tanpa sebarang kecederaan yang membabitkan kakitangan atau orang awam.

    Anggota polis dari unit forensik memeriksa kawasan kejadian selepas letupan bom di luar pejabat Hellenic Train, di Athens, Greece, pada 11 April. – AP

    Tambahnya lagi, pihak berkuasa telah bertindak segera selepas menerima maklumat tentang panggilan amaran tersebut dan kini bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa serta memastikan keselamatan kakitangannya.

    Polis telah menutup kawasan kejadian di sepanjang jalan utama di bandar Greece itu, bagi menghalang penduduk dan pelancong daripada menghampiri bangunan berkenaan, yang terletak di kawasan dengan beberapa bar dan restoran.

    Pegawai di lokasi turut mengeluarkan kenyataan, sebuah beg berisi bahan letupan telah diletakkan berhampiran bangunan Hellenic Train di Syngrou Avenue.

    Kemalangan itu sekali gus mendedahkan kelemahan serius dalam sistem kereta api Greece, termasuk dari segi keselamatan.

    Kejadian ini telah mencetuskan bantahan secara besar-besaran yang diketuai oleh keluarga mangsa terhadap kerajaan konservatif negara itu.

    Pengkritik turut menuduh pihak berkuasa telah gagal dalam mengambil tanggungjawab politik terhadap bencana itu atau menuntut keadilan daripada pegawai kanan.

    Setakat ini, hanya pegawai kereta api yang telah didakwa atas sebarang kesalahan jenayah. Beberapa siri protes yang tercetus dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah bertukar menjadi ganas, apabila penunjuk perasaan bertembung dengan pasukan polis.Hellenic Train berkata pihaknya “mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan dan ketegangan, sehingga menjejaskan segala kemajuan.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda