Letupan bom jejaskan misi bantuan musim sejuk

GAZIENTEP, TURKI, 22 JAN – Enam peserta Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Turki dan Syria diarah meninggalkan bandar Aleppo sekitar 1 tengah hari kelmarin setelah berlaku insiden pengeboman di kawasan berdekatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata insiden itu berlaku ketika rombongan mereka sedang dalam perjalanan menuju ke kawasan itu bagi menghantar bantuan.

“Rombongan sepatutnya keluar dari Syria pada sebelah malam selepas lawatan ke kilang roti di wilayah A’zaz. Kami berenam pada ketika itu berada di dalam van dan dalam perjalanan menghantar bekalan tepung ke kilang. Bagaimanapun kami dikejutkan dengan beberapa siri letupan bom.

“Letupan pertama berlaku sekitar 500 meter sahaja dari van yang dinaiki kemudian disusuli beberapa letupan di kawasan berhampiran,” katanya kepada wartawan Bernama TV yang turut mengikuti misi itu sejak 10 Jan lepas.

Ahmad Fahmi berkata rakan lapangan daripada Bonyan Organization iaitu badan bukan kerajaan di Turki yang mengiringi kumpulan misi Malaysia memasuki Syria menasihatkan mereka agar keluar segera dari Aleppo.

“Kami seterusnya menuju ke pintu sempadan Al-Salama iaitu jalan masuk dan keluar ke Kilis (Turki). Pemeriksaan keselamatan juga dilakukan segera oleh pihak keselamatan Syria-Turki agar kami boleh beredar dari situ dengan selamat,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata lawatan ke kilang tepung adalah lokasi terakhir selepas mereka memberi bantuan 1,000 gelen air bersih kepada beberapa keluarga di wilayah itu.

Hari sebelumnya, rombongan berjaya menghantar bekalan makanan, bahan api dan pek musim sejuk yang terdiri daripada tilam dan selimut tebal kepada hampir 1,500 keluarga pelarian.

Pada misi ini juga, kumpulan misi turut mengagihkan 65 pek makanan sihat kepada pelajar yang mengalami kecacatan serta mereka yang masih trauma akibat serangan bom.

Turut diagihkan 12,500 liter bahan api bernilai AS$12,300 untuk kegunaan alat pemanas yang dipasang di dalam khemah pelarian yang rata-ratanya diduduki antara lima hingga tujuh ahli keluarga, katanya. – Bernama