Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan bom Pakistan, 2 maut

    ISLAMABAD, 9 APRIL — Sebuah bom di tepi jalan meletup di barat laut Pakistan, membunuh dua askar yang sedang dalam perjalanan menaiki kenderaan mereka, kata tentera.

    Pihak Taliban dari Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan memberikan angka kematian yang lebih tinggi dalam serangan kelmarin di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, mengatakan lapan askar maut. Walau bagaimanapun, tiada penjelasan segera diberikan untuk percanggahan itu.

    TTP juga mengaku bertanggungjawab atas serangan bom tangan ke atas van polis di kawasan Swabi di wilayah itu yang membunuh seorang pegawai polis dan mencederakan dua yang lain kelmarin.

    Pakistan menyaksikan peningkatan serangan ke atas pasukan keselamatan selepas militan TTP menamatkan gencatan senjata dengan kerajaan November lalu. Bagi menentang gelombang keganasan, kerajaan baru-baru ini berkata bahawa ia akan menjalankan operasi anti-pengganas besar-besaran di seluruh negara dalam beberapa minggu akan datang.

    Jawatankuasa Keselamatan Negara, yang terdiri daripada perdana menteri dan pegawai tertinggi tentera, bersetuju untuk melancarkan semula operasi bulan ini di bawah pelan tindakan negara.

    Pelan itu melibatkan operasi ketenteraan dan perisikan, hukuman mati untuk militan, menubuhkan mahkamah tentera khas untuk perbicaraan, dan penempatan pasukan anti-pelampau di kawasan yang terdedah.

    Taliban Pakistan adalah kumpulan yang berasingan daripada Taliban Afghanistan, walaupun kumpulan militan Pakistan sering dikaitkan dengan mereka yang merentasi sempadan. – AP

    TTP bertanggungjawab ke atas serangan bom tersebut. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda