KABUL, Afghanistan, 31 Julai – Sebutir bom tepi jalan mengenai sebuah bas penumpang di barat Afghanistan hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, kata pegawai.
Serangan pada pagi di daerah Bala Buluk di barat wilayah Farah juga mencederakan 31 orang awam, menurut Abdul Jabar Shahiq, ketua jabatan kesihatan wilayah.
Shahiq berkata bas tersebut sedang dalam perjalanan dari wilayah Herat ke ibu negara, Kabul, apabila ia terkena bom tepi jalan.
Tidak ada kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab atas pengeboman itu tetapi Taliban dilihat sedang menduduki wilayah itu, terutamanya di Bala Buluk di mana mereka sering menanam bom tepi jalan untuk menyasarkan pegawai kerajaan atau anggota keselamatan Afghan.
Serangan sedemikian selalunya berakhir dengan kesan teruk di kalangan orang awam.

Laporan terbaharu oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata jumlah orang awam yang terbunuh di Afghanistan dalam separuh tahun pertama ini meningkat sebanyak satu peratus, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Misi PBB di Afghanistan berkata jumlah berkenaan iaitu 1,692 yang terbunuh akibat keganasan merupakan jumlah kematian tertinggi dalam enam bulan sejak ia mula didokumentasikan secara sistematik bermula tahun 2009.
Sejak Amerika Syarikat dan NATO melancarkan misi pertempuran mereka pada akhir tahun 2014, Taliban telah mempertingkat serangan di seluruh negara dan sekutu Islamic State juga telah muncul, melancarkan serangan yang telah meragut berpuluh nyawa orang awam.
Wilayah Farah telah melihat pertempuran sengit dalam beberapa bulan ini, dengan pegawai tempatan dan pemimpin puak meminta tentera kerajaan tambahan untuk menyokong tentera dan polis. – AP