BOGOTA, 11 JUN – Tujuh orang termasuk dua anggota polis terbunuh di Colombia kelmarin apabila kumpulan pemberontak meletupkan bom berhampiran balai polis di bandar Cali dan wilayah jiran, Cauca, menurut Polis Kebangsaan Colombia dalam satu kenyataan.
Jurucakap tentera dan polis menyalahkan serangan itu ke atas FARC-EMC, sebuah kumpulan yang diketuai oleh bekas anggota Angkatan Revolusi Bersenjata Colombia (FARC) yang berpecah selepas kumpulan tersebut menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada tahun 2016.
Pihak berkuasa berkata pemberontak telah meletakkan bom di dalam kereta dan motosikal yang diletakkan berhampiran balai polis dan turut melancarkan beberapa serangan menggunakan tembakan dan bom tangan.
Polis Colombia melaporkan terdapat sebanyak 24 serangan kelmarin di bandar Cali serta wilayah sekitarnya, Cauca dan Valle del Cauca, yang turut mencederakan 28 orang, termasuk 19 orang awam.
Serangan terhadap balai polis itu berlaku hanya beberapa hari selepas Miguel Uribe, calon presiden dari parti konservatif, ditembak semasa satu perhimpunan di Bogota.
Pihak berkuasa berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan terhadap Uribe, yang kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Bogota.
Kerajaan Colombia terus berdepan kesukaran dalam membendung keganasan di kawasan bandar dan luar bandar apabila beberapa kumpulan pemberontak cuba menguasai wilayah-wilayah yang ditinggalkan oleh FARC selepas perjanjian damai ditandatangani. – AP
