Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan di depoh ragut 8 nyawa

    CONAKRY, 18 DIS – Lapan orang terbunuh selepas satu letupan kuat di depoh bahan api utama di Guinea diikuti dengan kebakaran yang melanda pusat ibu negara Conakry awal pagi ini.

    Sekolah ditutup dan pekerja diminta tinggal di rumah ketika asap hitam tebal memenuhi langit. Penduduk melarikan diri dari kawasan di mana letupan berlaku, menurut imej yang ditunjukkan di rangkaian sosial.

    Kejadian berlaku sekitar tengah malam di depoh utama syarikat minyak negeri itu di daerah Kaloum di Conakry, berhampiran pelabuhan.

    “Lapan mayat hangus dibawa ke bilik mayat hospital Ignace Deen,” kata pegawai kanan kemudahan itu.

    Berpuluh-puluh orang cedera, beritahu seorang doktor dan penduduk tempatan kepada AFP.

    “Bunyi yang kuat telah membuat kami terjaga,” kata seorang penduduk kepada AFP.

    “Tingkap rumah kami dan jiran kami telah pecah. Kami berjaya melarikan diri dari tempat itu,” tambahnya.

    Kerajaan menggesa orang ramai di kawasan terdekat ‘untuk berpindah dari tapak itu bukan sahaja demi keselamatan mereka tetapi untuk membolehkan responden beroperasi dengan selamat’.

    Stesen perkhidmatan juga akan ditutup dan “dalam beberapa jam akan datang, laporan kemajuan akan dikeluarkan dan siasatan akan dilancarkan untuk mengenal pasti punca dan mereka yang bertanggungjawab,” kata kerajaan. – AFP

    Gambar video menunjukkan kebakaran di depoh bahan api utama Conakry kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda