Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan di kilang kimia Mississippi keluarkan gas ammonia

    YAZOO CITY, 6 NOV — Satu letupan di sebuah pengeluar produk hidrogen dan nitrogen di Mississippi kelmarin sebabkan kebocoran ammonia dan memaksa penduduk berdekatan berpindah, kata pegawai.

    Gabenor Mississippi, Tate Reeves, berkata dalam satu catatan di platform sosial X bahawa pegawai kecemasan dari seluruh negeri sedang bertindak balas terhadap kebocoran gas ammonia anhidrat di kilang CF Industries di utara Yazoo City.

    Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, katanya.

    “Terima kasih kepada semua responden pertama dan pengurus kecemasan Mississippi kerana bertindak balas dengan cepat terhadap kebocoran itu,” katanya.

    Foto dan video yang disiarkan dalam talian menunjukkan kepulan asap kekuningan menjulang naik ke atas dari pusat tersebut yang merangkumi sebuah loji ammonia dan empat loji asid nitrik.

    Pusat tersebut mampu menyimpan kira-kira 48,000 tan ammonia, walaupun jumlah sebenar ketika letupan berlaku tidak dapat dipastikan dengan segera.

    CF Industries berkata dalam satu kenyataan bahawa tiada kecederaan dan, “semua pekerja dan kontraktor di tapak pada masa kejadian telah dipastikan selamat.”

    Andre Robinson, yang tinggal kira-kira 800 meter dari kemudahan itu, berkata dia dan anaknya sedang bersiap sedia untuk membuat gumbo apabila dia terdengar bunyi seperti dentuman sonik atau pokok yang menghempas rumahnya.

    “Terdapat dentuman dan kemudian rumah kami bergegar,” katanya. Apabila melihat ke luar, Robinson mendapati asap naik dari kawasan itu dan mula terhidu bau ammonia yang kuat.

    “Kami sudah biasa dengan bau ammonia, tetapi tidaklah seteruk itu,” katanya.

    Amonia anhidrat digunakan sebagai baja bagi membantu membekalkan nitrogen untuk tanaman jagung dan gandum, menurut Jabatan Pertanian Minnesota. Jika seseorang menyentuhnya semasa dalam bentuk gas atau cecair, ia boleh menyebabkan kulit terbakar. – AP

    Gambar dari Andre Robinson menunjukkan kepulan asap selepas letupan di kilang CF Industries kelmarin di Yazoo City, Mississippi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda