MINNEAPOLIS, 7 Ogos – Pusat Islamik Dar Al-Farooq di pinggir bandar Minneapolis, seperti masjid-masjid lain di AS, kadangkala menerima panggilan dan e-mel ancaman. Namun para pemimpin berkata mereka lebih takut selepas serangan hujung minggu yang mana satu letupan memecahkan cermin tingkap dan merosakkan sebuah bilik ketika penganut-penganutnya bersiap sedia untuk menunaikan solat Fardu Subuh.
“Kami merasa ia seperti lebih serius dan lebih menakutkan berbanding sesuatu secara rawak,” Mohamed Omar, pengarah eksekutif pusat itu berkata semalam. “Ia amat menakutkan.”
Tiada sesiapa tercedera dalam letupan itu, yang berlaku sekitar pukul 5 pagi semalam. Cermin tingkat pejabat imam telah pecah, sama ada akibat letupan atau objek yang dilontar ke arah tingkap. FBI sedang memburu suspek-suspek dan cuba memastikan sama ada kejadian itu adalah jenayah benci.
Gabenor Mark Dayton yang menyertai para pegawai awam dan pemimpin masyarakat bagi mesyuarat di dalam bangunan itu semalam, menyifatkan pengeboman itu sebagai ‘amat malang’ dan ‘bukan Minnesota.”
“Ini adalah perlakuan pengganasan. Ini menyalahi undang-undang di Amerika,” Dayton berkata pada sidang media selepas itu, lapor Star Tribune.
Selain menjadi tempat beribadat dan pusat masyarakat, masjid di Bloomington ini yang terletak selatan Minneapolis memiliki pusat kesihatan badan, gimnasium bagi budak perempuan dan lelaki, padang bola sepak dan bersempadan dengan taman bandar, menurut Omar. Dia menganggarkan masjid itu boleh menampung sehingga 300 orang bagi solat Jumaat. Pusat kemasyarakatan juga mengadakan kelas komputer, liga bola sepak, kelas-kelas agama, ceramah dan acara lain.
“Ia adalah tempat yang boleh didatangi oleh sebuah keluarga dan mendapat apa saja yang mereka perlukan.” Kata Omar lagi.
Masjid ini dibuka pada tahun 2011 di tapak bekas sekolah rendah di pinggir bandar yang dihuni oleh kira-kira 85,000 dan terutamanya dikunjungi terutamanya dari masyarakat besar Somalia di kawasan itu. Minnesota didiami oleh masyarakat terbesar Somalia di AS, kira-kira 57,000 orang, menurut bilangan banci terbaru. – AP