PARIS, 22 JUN – Seorang individu masih belum ditemui hari ini selepas letupan memusnahkan sebuah bangunan di tengah Paris.
Enam yang lain berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan segera di hospital sementara pasukan penyelamat masih mencari mangsa runtuhan.
Pegawai pendakwa mengatakan lebih kurang 50 orang cedera dalam letupan itu dan runtuhan bangunan di jalan Rue Saint Jacques yang kemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas.
“Dua orang dicari dalam runtuhan, ternyata salah seorang daripadanya telah dimasukkan ke hospital,” kata pejabat pendakwa.
Pencarian diteruskan untuk kali yang kedua dan memberikan amaran bahawa jumlah ini masih boleh bertambah.
Letupan itu berlaku pada petang Rabu di daerah ke lima bandar ini, berdekatan dengan Taman Luxembourg dan di tepi Latin Quarter, tempat pelancongan utama di ibu negara Perancis.
“Ia sangat mengerikan. Saya fikir ia adalah gempa bumi. Semuanya bergoyang,” kata Violeta Garesteaw, seorang penjaga di bangunan berdekatan, kepada AFP hari ini selepas membersihkan serpihan kaca di halaman rumah.
“Banyak tingkap pecah. Kami terpaksa memasang plastik kerana hujan,” katanya.
Gelombang kejutan itu memecahkan tingkap sejauh 400 meter.
Ia mencetuskan kebakaran besar yang menyebabkan bangunan sekolah fesyen swasta yang dipanggil Paris American Academy itu runtuh.
Menurut komen ibu salah seorang pelajar dalam akaun Facebook sekolah mengatakan bilik darjah pada masa itu kosong kerana pelajar sedang menghadiri pertunjukan Paris Fashion Week.
“Bilangan korban mungkin lebih tinggi,” kata wakil ketua bandar Paris, Emmanuel Gregoire, kepada radio FranceInfo. Lebih kurang 70 jentera pemadam kebakaran dan 270 anggota bomba memadam kebakaran sebelum dapat dikawal. – AFP


