Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan gas di kilang kimia Pakistan ragut 14 nyawa

    FAISALABAD, PAKISTAN, 21 NOV – Sekurang-kurangnya 14 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan pekerja kilang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam insiden letupan gas di sebuah kilang kimia berhampiran Padang Kabaddi Shahab Town, Malikpur, pagi tadi.

    Menurut Associated Press of Pakistan (APP), enam daripada mangsa ialah kanak-kanak berusia antara satu hingga 13 tahun.

    Letupan di kilang pembuatan Samad Bond itu turut merosakkan sekurang-kurangnya sembilan rumah berdekatan. Tiga mangsa yang terkorban merupakan pekerja kilang, manakala selebihnya penduduk setempat.

    Seramai 21 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak berjaya dikeluarkan dari runtuhan. Daripada jumlah itu, 10 disahkan maut di lokasi kejadian, manakala empat lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Pegawai Rescue-1122 berkata letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan beberapa rumah di kawasan berhampiran runtuh.

    Pihak pentadbiran daerah bersama polis dan pasukan Rescue-1122 bertindak pantas dan melancarkan operasi menyelamat sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

    Pesuruhjaya, Raja Jahangir Anwar dan Pegawai Daerah Kapten (Bersara), Nadeem Nasir mengesahkan letupan berpunca daripada kebocoran gas di kilang terbabit dan memaklumkan bahawa mangsa yang cedera sedang menerima rawatan. – Bernama

    Anggota penyelamat mencari mangsa yang terselamat selepas letupan di kilang kimia pembuatan gam di Faisalabad kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda