MOSCOW, 10 FEB – Satu letupan berlaku kelmarin di sebuah kapal tangki minyak di sebuah pelabuhan di barat laut Rusia, memaksa anak kapal untuk dipindahkan, menurut agensi perkapalan persekutuan negara itu.
Agensi pengangkutan maritim dan sungai Rosmorrechflot menulis di Telegram bahawa “satu letupan berlaku di bilik enjin” kapal Koala di pelabuhan Ust-Luga, barat Saint Petersburg, pagi kelmarin.
Ia menyatakan bahawa anak kapal telah melarikan diri dari kapal tersebut, namun letupan itu tidak menyebabkan tumpahan kargo atau kebocoran produk minyak dan tiada risiko kapal itu tenggelam.
“Agensi berkaitan sedang menyiasat kejadian itu,” kata kenyataan tersebut dan keadaan kapal itu akan diperiksa.
Laman penjejakan kapal, Vesselfinder, menunjukkan bahawa kapal Koala, yang dibina pada 2023 dan berdaftar di bawah bendera Antigua dan Barbuda, tiba di Ust-Luga pada Khamis.
Saluran Telegram Baza Rusia melaporkan bahawa kapal itu membawa 130,000 tan minyak bahan api berat.
Dua buah kapal tangki minyak karam di Laut Hitam pada Disember lalu, menyebabkan tumpahan minyak yang besar dan masih terdampar di pesisir pantai. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-2_11022025.jpg)