MOSCOW, 19 OKT – Letupan di sebuah loji kimia di selatan Rusia telah mengorbankan tiga orang, kata gabenor wilayah kelmarin tanpa menyatakan punca letupan itu.
Kilang Avangard, yang terletak di wilayah Bashkortostan, Sterlitamak, menghasilkan senjata dan peluru untuk perang Rusia di Ukraine, lapor media Rusia.
Dron Ukraine yang menyasarkan kilang penapisan minyak utama melanda wilayah yang sama sebulan lalu.
Gabenor Bashkortostan, Radiy Khabirov, berkata di Telegram kelmarin bahawa letupan yang cukup kuat memusnahkan salah sebuah bangunan di tapak kilang kimia, membunuh tiga wanita.
Beliau berkata, lima orang lagi cedera dan dimasukkan ke hospital, dua daripadanya dalam keadaan serius.

“Kilang itu menjalankan misi penting yang diamanahkan oleh kerajaan dan mengendalikan bahan letupan,” kata Khabirov.
Beliau berkata, punca letupan sedang dalam penelitian oleh pakar.
Pada 18 September, dron Ukraine melanda kilang penapisan minyak Bashkortostan yang dikendalikan oleh syarikat gergasi yang dikawal kerajaan Gazprom, sebagai sebahagian daripada serangan balas Kiev menyasarkan hasil tenaga Rusia yang digunakan untuk membiayai tentera.
Khabirov pada masa itu mengesahkan dua dron telah merempuh kilang penapisan. – AFP
