BEIJING, 14 JAN – Angka kematian akibat kemalangan di lombong batu arang di tengah China telah meningkat kepada 13 orang, dengan tiga orang masih hilang, kata syarikat induk lombong itu hari ini.
Media kerajaan melaporkan kelmarin kemungkinan letupan telah berlaku pada hari sebelumnya di sebuah lombong di Pingdingshan, wilayah Henan.
Letupan itu pada mulanya menyebabkan 10 orang maut dan enam hilang, menurut penyiar negeri, CCTV. Pingdingshan Tianan Coal Mining berkata dalam pemfailan pasaran saham hari ini bahawa ‘setakat ini… 13 orang telah disahkan maut’ dalam kejadian itu.
“Tiga orang lagi masih hilang dan tertakluk kepada usaha mencari dan menyelamat sepenuhnya,” kata kenyataan yang disiarkan di laman web Bursa Saham Shanghai.
Firma itu berkata letupan itu berlaku di sebuah anak syarikat dan ia telah menghentikan pengeluaran di lebih puluhan lombong ‘disebabkan keadaan keselamatan pengeluaran yang teruk sekarang’.
Agensi berita negara, Xinhua berkata kelmarin 425 orang sedang bekerja di bawah tanah ketika letupan berlaku. Mereka yang bertanggungjawab ke atas lombong itu telah ditahan oleh pihak berkuasa, kata Xinhua. – AFP


