Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan lori tangki bahan api korbankan 52 orang

    LAGOS, 9 SEPT – Sebuah lori tangki bahan api meletup selepas bertembung dengan sebuah trak yang membawa penumpang dan lembu di Negeri Niger utara Nigeria, mengorbankan sekurang-kurangnya 52 orang, kata agensi penyelamat, hari ini.

    Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Niger (SEMA) menunjukkan pekerja mengebumikan lebih puluhan mayat yang rentung akibat kejadian awal pagi kelmarin.

    Imej menunjukkan badan kenderaan yang terbakar, sebuah masih diselubungi dengan asap dan api selepas kejadian di daerah kerajaan tempatan Agaie di Niger.

    Ibrahim Husseini, jurucakap SEMA Niger, memberitahu AFP, mangsa telah dikebumikan secara beramai-ramai berikutan kemalangan dan letupan itu.

    “Kejadian berlaku apabila sebuah lori tangki petrol yang dipenuhi dengan PMS (bahan api) bertembung dengan lori treler yang dipenuhi dengan penumpang dan lembu,” kata kenyataan SEMA.

    Gambar Freepik

    Dua kenderaan lain, sebuah kren dan sebuah van pikap, turut terlibat, tambahnya.

    Gabenor Negeri Niger, Mohammed Umaru Bago melahirkan rasa sedih atas kehilangan yang amat besar, menggesa penduduk tempatan supaya bertenang.

    Lebih 50 ekor lembu turut terbakar hidup-hidup.

    Letupan lori tangki bahan api adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika itu, di mana jalan raya tidak diselenggara dengan baik, dan penduduk sering mengambil kesempatan untuk menyedut bahan api berikutan kemalangan.

    Menurut Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC), lebih 5,000 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Nigeria pada 2023, berbanding hampir 6,500 orang pada tahun sebelumnya.

    Tetapi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), angka itu tidak mengambil kira kemalangan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ia menganggarkan kematian kemalangan jalan raya tahunan di Nigeria hampir 40,000, dalam laporan yang diterbitkan tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda