Letupan masjid ragut 24 jiwa

NARAYANGANJ, 6 SEPT – Angka kematian akibat letupan gas yang memusnahkan sebuah masjid di Bangladesh telah meningkat kepada 24 orang, menurut angka rasmi hari ini, di mana para penyelamat menggambarkan mangsa yang terselamat melompat ke pembetungan terbuka yang berdekatan untuk menyelamatkan diri dari kejadian itu.

Para jemaah sedang menunaikan solat pada waktu malam Jumaat ketika letupan berlaku pada bahagian tengah masjid di daerah pusat Narayanganj dekat ibu kota Dhaka, kata perkhidmatan kecemasan.

Lapan orang lagi – termasuk imam dan bilal masjid – terkorban dan menjadikan angka korban kepada 24 orang, menurut Samanta Lal Sen, jurucakap dari sebuah unit pakar hospital di Dhaka.

“Keadaan 13 orang yang tercedera berada dalam keadaan kritikal. Keadaan badan mangsa yang tercedera 70 hingga 80 peratus terbakar,” katanya memberitahu AFP, dan menambah terdapat kebimbangan angka korban terus meningkat.

“Ia adalah sukar untuk terus hidup jika anggota tubuh badan seseorang itu melecur lebih dari 30 peratus.” Seramai 45 orang jumlah keseluruhan mereka yang tercedera, menurut polis.

Mohammad Salim berkata dia bergegas ke masjid selepas letupan, menambah letupan tersebut telah menggegarkan kawasan sekitar masjid.

“Mereka berteriak ‘selamatkan kami’ ketika mereka bergolek masuk ke air pembetungan untuk melegakan kesan melecur. Muka mereka melecur dan tidak dapat dikenal pasti,” Salim, yang kehilangan dua orang sepupu dan abang iparnya dalam letupan, memberitahu AFP. – AFP