KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Letupan besar paip gas yang menggegarkan Malaysia pada April lalu berpunca daripada tekanan berpanjangan terhadap paip akibat keadaan tanah yang tidak stabil, menurut pihak berkuasa yang menegaskan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dikenal pasti.
Letupan di bandar Puchong, di pinggir bandar Kuala Lumpur, telah mencederakan lebih 100 orang, memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan dan memusnahkan rumah serta kenderaan di kawasan sekitar.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia turut memaklumkan tanah yang menampung paip di lokasi letupan itu adalah ‘lembut dan lembap’ serta telah mengalami pergerakan, menyebabkan garis tekanan jangka panjang terbentuk pada permukaan paip.

“Keadaan tanah yang tidak stabil di sekeliling paip merupakan punca utama letupan,” kata Pengarah Keselamatan Petroleum jabatan itu, Husdin Che Amat.
“Paip gas tersebut telah memenuhi piawaian teknikal semasa pemasangan,” katanya dalam satu sidang media lewat malam kelmarin.
“Tetapi kegagalan berlaku disebabkan oleh tekanan berulang yang menyebabkan kebocoran gas dan geseran logam antara paip, seterusnya mencetuskan pencucuhan dan letupan,” jelas Husdin.
Kawasan yang terjejas itu merupakan sebahagian daripada rangkaian paip gas sepanjang 2,680 kilometer yang dikendalikan oleh syarikat minyak dan gas milik negara, Petronas.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata siasatan pihak berkuasa tidak menemui sebarang unsur kecuaian atau sabotaj dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, kumpulan pemantau alam sekitar RimbaWatch pada Selasa menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Petronas dan agensi kerajaan berkaitan atas kemungkinan kecuaian dalam pemantauan paip tersebut. – AFP

