Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan sebabkan 2 jambatan di barat Rusia runtuh

    BRYANSK, RUSSIA, 2 JUN – Satu letupan menyebabkan dua jambatan runtuh dan dua kereta api tergelincir di barat Rusia kelmarin mengorbankan tujuh orang dan berpuluh-puluh cedera dalam satu nahas kereta api yang tergelincir berkenaan.

    Punca letupan masih belum dikenal pasti, menurut laporan pihak berkuasa.

    Jambatan pertama, di wilayah Bryansk di sempadan dengan Ukraine, runtuh di atas kereta api penumpang Sabtu lalu menyebabkan beberapa mangsa terkorban termasuk pemandu kereta api berkenaan.

    Beberapa jam kemudian, pegawai berkata kereta api kedua tergelincir apabila jambatan di bawahnya runtuh di wilayah yang berhampiran.

    Dalam kejadian tersebut, sebuah kereta api tercampak dari landasannya ke jalan di bawah akibat dari runtuhan jambatan lalu mencetuskan kebakaran. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut pemangku Gabenor tempatan Alexander Khinshtein kelmarin.

    Jawatankuasa Penyiasatan Rusia berkata bahawa letupan telah menyebabkan kedua-dua jambatan itu runtuh, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

    Beberapa jam kemudian, jawatankuasa berkenaan menyunting kenyataan dengan menghapuskan perkataan ‘letupan’ tetapi tidak memberikan penjelasan.

    Jawatankuasa berkenaan turut berkata insiden berkenaan akan disiasat sebagai satu kemungkinan tindakan pengganas.

    Pekerja penyelamat membersihkan serpihan dari kedua-dua tapak, manakala sebahagian daripada mereka yang cedera dibawa ke Moscow untuk rawatan.

    Gambar yang disiarkan oleh agensi kerajaan di Bryansk menunjukkan gerabak kereta api yang hancur di tengah-tengah konkrit yang tumbang dari jambatan runtuh.

    Gabenor wilayah Bryansk Alexander Bogomaz mengumumkan tiga hari berkabung untuk mangsa, mulai Isnin.

    Kerosakan pada landasan turut ditemui di kawasan lain Bryansk, menurut Moscow Railway dalam satu kenyataan. Namun ia tidak menyatakan bahwa ia ada kaitan dengan dengan jambatan yang runtuh tersebut. – AP

    Foto daripada telegram Pemangku Gabenor Wilayah Kursk kelmarin menunjukkan jambatan yang rosak selepas nahas kereta api berkenaan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda