ISLAMABAD, 29 SEPT – Satu letupan kuat ketika perarakan sambutan Maulidur Rasul melanda wilayah Balochistan di barat daya Pakistan hari ini, mengorbankan 52 nyawa manakala berpuluh-puluh yang lain cedera, lapor Xinhua.
Seorang pegawai kanan polis yang bertanggungjawab menyelia aspek keselamatan perarakan itu antara yang terbunuh.
Insiden berlaku berhampiran sebuah masjid di kawasan Kora Khan di daerah Mastung, kata Penolong Pesuruhjaya Mastung, Atta-ul-Muneem Baloch.
Laporan awal dan siasatan polis mencadangkan ia adalah serangan bunuh diri, namun, pihak berkuasa berkaitan masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti forensik.
Pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.
Beberapa orang yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dipindahkan ke ibu kota wilayah jiran, Quetta untuk menerima rawatan yang lebih baik, menurut sumber hospital.
Bercakap kepada Xinhua, Hamza Khan, seorang penduduk daerah Mastung, berkata bahawa dia, bersama ahli keluarganya, sedang menghadiri perarakan Eid-e-Milad-un-Nabi, sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad, apabila dia terdengar letupan kuat.
“Ia sangat besar sehingga buat seketika, saya tidak percaya pandangan saya… Orang ramai menjerit meminta tolong dan terdapat darah di mana-mana,” kata Khan.
Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Menteri Dalam Negeri sementara, Sarfaraz Ahmed Bugti mengecam letupan itu, berkata negara itu tidak bertoleransi terhadap pengganas. – Bernama