Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan sonik misteri gegarkan pusat peranginan Mediterranean

    ROME, 21 JUN – Satu letupan sonik yang kedengaran di Tuscany dan di pulau Corsica, Perancis, yang pada mulanya disalah anggap oleh pelancong, penduduk tempatan dan pegawai sebagai gempa bumi, mungkin merupakan meteorit, kata pakar kelmarin.

    Bandar Campo nell’Elba, di pulau pelancongan Itali Elba, berkata di halaman Facebooknya bahawa stesen pengesan berdekatan telah ‘mengalami kejadian akustik seismik yang dirasai oleh semua orang’ pada 4:30 petang.

    Laporan media Corsica berkata ia turut dirasai di pulau itu.

    Presiden kerajaan wilayah Tuscany, Eugenio Giani pada mulanya berkata ia adalah gempa bumi, sebelum menarik balik kenyataan selepas Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV) Itali menolak dakwaan gempa bumi.

    Tentera Udara Itali memberitahu Giani ia tiada kaitan dengan ledakan sonik.

    Sepasang suami isteri berjalan di sepanjang pinggir laut di Ajaccio, di pulau Corsica Mediterranean Perancis, pada 20 Jun. – AFP

    “Kejadian yang menyebabkan gegaran itu, dirasai ramai orang sebagai gempa bumi di seluruh pantai Tuscany dan di beberapa kawasan pedalaman, pada masa ini belum dipastikan,” tulis Giani di media sosial.

    Institut Geofizik rantau itu dan Universiti Florence berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa apa-apa yang menyebabkan letupan itu bergerak dengan kelajuan 400 batu sesaat.

    “Kemungkinan besar meteorit yang memasuki atmosfera dan selaras dengan data yang didaftarkan”.

    Akhbar harian Corriere della Sera memetik seseorang yang namanya tidak didedahkan daripada agensi perlindungan awam Itali berkata, ‘kesannya akan didaftarkan oleh seismograf. Hipotesis yang mungkin adalah sebuah kapal terbang’.

    Ia bukan kali pertama ledakan sonik misteri didaftarkan di Elba, kata Corriere della Sera.

    Peristiwa serupa pada 2012, 2016 dan 2023 masih belum dijelaskan, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda