MOSCOW, 21 JULAI – Kebakaran besar berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbour di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS), berpunca daripada letupan tangki propana, lapor Sputnik memetik jabatan bomba Phoenix.
Menurut kenyataan jabatan bomba yang dikeluarkan pada petang kelmarin, lebih 100 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan jalan di situ kini ditutup.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Lapangan Terbang Phoenix Sky Harbour berkata kebakaran itu tidak menjejaskan operasinya, dengan terminal dan landasan masih dibuka.
Pihak berkuasa lapangan terbang menasihatkan pelancong supaya menyemak status penerbangan masing-masing. – Bernama


