PRISTINA, 2 DIS – Letupan di terusan penting kepada bekalan air dan kuasa Kosovo telah mencetuskan perang mulut dengan Serbia, di mana ia ditakuti boleh meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara Balkan itu.
Letupan Jumaat lalu mengakibatkan lubang di terusan yang membekalkan air kepada ratusan ribu orang dan sistem penyejukan di dua loji janakuasa arang batu yang menjana sebahagian besar tenaga elektrik Kosovo.
Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti, segera menuding jari ke arah musuh ketat Serbia, menyebut insiden itu sebagai serangan pengganas.
Beliau seterusnya berkata Belgrade meniru tindakan Rusia di Ukraine, cuba memadamkan kuasa dan pemanasan di Kosovo semasa musim sejuk.
“Inilah sebab mengapa kami membangkitkan kebimbangan mengenai pakatan Rusia dengan Serbia,” kata Kurti, sambil menekankan dakwaan rampasan lambang tentera Rusia dan Serbia semasa serbuan susulan.
Serbia pantas membalas, dengan pegawai menafikan tanggungjawab dan berkata insiden itu akan digunakan sebagai alasan oleh kerajaan Pristina untuk membanteras warga Serbia yang tinggal di Kosovo. – AFP