VLADIVOSTOK, 24 APRIL – Hujan debu akibat letusan Gunung Berapi Bezymianny di Semenanjung Kamchatka, timur Rusia, telah menyelubungi tiga buah kampung di Daerah Milkovo, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan hari ini.
“Debu gunung berapi kini melanda tiga buah kampung akibat letusan dari Gunung Berapi Bezymianny,” kata cawangan wilayah Kementerian Situasi Kecemasan Rusia menerusi saluran Telegram rasminya.
Tambahnya lagi, “Walaupun kehidupan penduduk belum terjejas, perkhidmatan kecemasan menasihati orang ramai agar kekal berada di dalam rumah, melainkan benar-benar perlu.”
Cawangan Timur Jauh Institut Vulkanologi dan Seismologi Akademi Sains Rusia telah membuat ramalan bagi awan debu tersebut.
Data mereka turut menunjukkan zarah-zarah gunung berapi itu sedang bergerak ke arah penempatan lain, iaitu kampung Kozyrevsk di Daerah Ust-Kamchatsky.
Gunung Berapi Bezymianny telah mengeluarkan gumpalan debu buat kali kelima dalam tempoh 24 jam, dengan pelepasan terkini mencecah ketinggian 11 kilometer dari paras laut.
Susulan itu, kod warna penerbangan telah dinaikkan kepada ‘merah’, menandakan ancaman besar kepada semua jenis pesawat.
Gunung Berapi Bezymianny terletak kira-kira 40 kilometer dari kampung Klyuchi dan 350 kilometer dari bandar wilayah Petropavlovsk-Kamchatsky. – Xinhua
