Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letusan gunung berapi punca penerbangan dibatal

    JAKARTA, 21 MAC – Sekurang-kurangnya tujuh penerbangan antarabangsa dari pulau peranginan Bali, Indonesia telah dibatalkan, menurut seorang pegawai lapangan terbang hari ini, selepas sebuah gunung berapi di timur negara kepulauan itu meletus, menghamburkan abu hitam setinggi lapan kilometer ke udara.

    Gunung Lewotobi Laki-Laki, gunung berkembar setinggi 1,703 meter yang terletak di pulau pelancongan Flores, meletus selama 11 minit dan sembilan saat lewat semalam, menurut pihak berkuasa, yang kemudiannya menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi.

    Setakat jam 9:45 pagi hari ini, “Tujuh penerbangan antarabangsa telah dibatalkan, enam daripadanya adalah penerbangan Jetstar ke Australia dan satu penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur,” kata jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, Andadina Dyah, dalam satu kenyataan.

    Beberapa penerbangan lain termasuk penerbangan domestik dan antarabangsa ke Thailand, Singapura dan Australia turut mengalami kelewatan, menurut kenyataan itu.

    Lapangan terbang tempatan di Maumere, Flores, yang paling hampir dengan gunung berapi tersebut, tidak terjejas oleh abu, menurut kementerian pengangkutan.

    “Kolum abu diperhatikan berwarna kelabu kehitaman dengan kepadatan tebal,” kata agensi vulkanologi Indonesia dalam satu kenyataan mengenai letusan yang bermula sekitar jam 11 malam semalam.

    Tiada laporan mengenai kerosakan di kampung-kampung berdekatan, namun agensi tersebut memberi amaran kepada penduduk mengenai kemungkinan aliran lumpur gunung berapi akibat hujan lebat.

    Letusan yang berpanjangan itu menyebabkan agensi geologi negara menaikkan tahap amaran gunung berapi tersebut ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat.

    Pihak berkuasa juga mengenakan zon larangan sejauh tujuh hingga lapan kilometer (empat hingga lima batu) di sekitar gunung berapi itu, tambah agensi tersebut.

    Pada bulan November, Gunung Lewotobi Laki-Laki telah meletus beberapa kali, menyebabkan sembilan orang terkorban, membatalkan banyak penerbangan antarabangsa ke pulau peranginan Bali, serta memaksa ribuan penduduk berpindah. – AFP

    Penumpang melihat papan elektronik yang memaparkan penerbangan yang dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Tuban, berhampiran Denpasar, di pulau peranginan Bali, Indonesia, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda