CANBERRA, 21 NOV – Letusan gunung berapi tertinggi di Papua New Guinea sudah reda hari ini, tetapi abu tebal masih menyelubungi udaranya.
Salah satu gunung berapi paling aktif di negara Pasifik Selatan itu, Gunung Ulawun meletus kelmarin petang, mengeluarkan abu setinggi 15 kilometer.
Tahap amaran untuk gunung berapi di pulau timur laut New Britain telah diturunkan oleh Bahagian Pengurusan Geohazard Papua New Guinea kepada Peringkat Tiga, yang bermaksud letusan sederhana hingga kuat. Ia telah berada di Peringkat Empat kelmarin, menunjukkan letusan yang sangat kuat.
Namun begitu, gunung berapi yang mencapai ketinggian 2,334 meter di atas paras laut itu masih aktif dan letupan boleh berterusan tanpa had, kata bahagian tersebut.
Pusat Maklumat Gunung Berapi di Darwin, Australia, melaporkan asap gunung berapi meningkat setinggi 15,000 meter kelmarin.
Bahagian Papua New Guinea melaporkan kepulan abu meningkat sekurang-kurangnya 5,000 meter hari ini sebelum hilang dalam awan atmosfera.
Partikel kecil gunung berapi dalam kepulan abu berterbangan di udara boleh mengancam penerbangan. Gumpalan asap tebal seluas berpuluh-puluh kilometer ke barat laut Gunung Ulawun hari ini.
Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Papua New Guinea tidak segera membalas e-mel yang bertanya sama ada perjalanan udara terjejas. Laman sesawang penjejakan FlightAware menunjukkan aktiviti biasa hari ini di lapangan terbang besar terdekat, di ibu negara Port Moresby dan di Honiara, ibu negara Kepulauan Solomon. – AFP