Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letusan lumpur, gas dan air panas melanda Sumatera Utara

    JAKARTA, 30 APRIL – Sekurang-kurangnya 15 titik letusan yang menghamburkan lumpur , gas dan air panas dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Sumatera Utara, Indonesia, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) negara itu.

    Jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini, berkata sebahagian titik letusan itu muncul di tanah milik penduduk Kampung Roburan Dolok di Kabupaten Mandailing Natal minggu lepas, dengan mengeluarkan bau kuat seperti sulfur.

    “Letusan ini sebenarnya sudah berlaku sejak sekian lama, tetapi tidak sebanyak ini,” katanya sambil menambah bahawa bilangan titik letusan telah meningkat sejak 2018, dengan aktiviti yang semakin ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Gambar Freepik

    Beliau berkata fenomena itu telah merosakkan kira-kira lima hektar kawasan termasuk ladang getah, manakala hujan lebat memburukkan keadaan apabila lumpur mengalir ke sungai dan mencemarkan sumber air.

    Pihak berkuasa tempatan, termasuk pasukan tindak balas pantas daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), telah menjalankan tinjauan di lokasi, manakala pakar daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral mengambil sampel lumpur untuk dianalisis di makmal di Jakarta.

    “Penemuan awal menunjukkan letusan itu tidak mengandungi hidrogen sulfida, namun punca sebenar masih belum diketahui dan sedang disiasat,” kata Abdul Muhari lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda