Wednesday, March 12, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leverkusen boleh ‘cipta sesuatu yang epik’ – Alonso

    BERLIN, 11 MAC – Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso berkata kelmarin, dia percaya pasukannya boleh melakukan kebangkitan ‘epik’ menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara walaupun ketinggalan 3-0 dari perlawanan pertama dan kehilangan Florian Wirtz akibat kecederaan buku lali.

    “Kadang-kadang dari situasi yang besar dan sukar, sesuatu yang epik tercipta. Esok, ia boleh menjadi permainan yang epik untuk kami. Kami tahu ia tidak mudah, tetapi kami mesti mempercayainya,” kata Alonso kepada pemberita.

    “Kami mesti bermain dengan semangat, hati, agresif dan berhati-hati. Ini adalah peluang yang mungkin kami tidak akan perolehi lagi dalam kerjaya kami.”

    Dia menambah: “Pasukan ini telah melakukan sesuatu yang lebih sukar. Kami memenangi Bundesliga musim lalu tanpa kalah. Bagi saya itu lebih sukar.”

    Pemain bek tengah Leverkusen, Jonathan Tah turut merasakan wujud kepercayaan di kalangan rakan sepasukannya apabila menegaskan, “ia boleh menjadi peluang untuk menulis sejarah”.

    Manakala pengurus Bayern, Vincent Kompany pula berkata, dia tidak membuang masa untuk fikirkan keputusan seri, apabila pasukannya mendahului dengan agregat.

    “Apabila awda menjadi jurulatih Bayern, mentalnya lebih mudah. ​​Awda sentiasa mahu menang. Apabila kami beraksi, matlamat kami adalah untuk menang.”

    Kompany mengharapkan Wirtz cepat sembuh dan berkata Leverkusen mempunyai banyak lagi pemain lain yang berkualiti.

    Bayern juga menghadapi kekurangan pemain utama apabila kapten dan penjaga gol Manuel Neuer telah direhatkan kerana kecederaan dan sekali lagi digantikan pemain berusia 21 tahun, Jonas Urbig yang tidak berpengalaman. – AFP

    Reaksi Xabi Alonso semasa sidang akhbar menjelang pertembungan dengan Bayern Munich di Leverkusen, Jerman kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda