MILAN, 6 MEI – Robert Lewandowski akan bermula di bangku simpanan menjelang perlawanan penentuan separuh akhir Liga Juara-Juara antara Barcelona dengan Inter Milan selepas pulih daripada kecederaan hamstring, kata jurulatih Hansi Flick kelmarin.
Kapten Poland, Lewandowski terlepas perlawanan pertama yang mendebarkan berkesudahan 3-3 minggu lalu di Catalonia dengan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Celta Vigo bulan lalu tetapi akan tersedia sebagai pemain gantian di San Siro.
“Semuanya berjalan dengan cara yang betul dan keadaanya bagus, jauh lebih baik daripada yang kami jangkakan. Dia sudah bersedia di bangku simpanan. Jadi mungkin apabila kami memerlukannya, dia boleh masuk,” kata Flick kepada pemberita.
Kepulangan Lewandowski adalah dorongan besar untuk Flick kerana penyerang veteran itu telah menjaringkan 40 gol musim ini dalam semua pertandingan untuk Barca.
Barca sedang memburu empat kali ganda trofi utama dalam musim pertama Flick sebagai jurulatih, selepas menewaskan Real Madrid untuk kedua-dua Piala Super Sepanyol dan Copa del Rey.
“Saya telah membayangkannya (juara empat kali ganda),” kata pemain tengah Barcelona, Dani Olmo.
“Saya mahu memenangi segala-galanya. Di Barca, kami mempunyai pasukan yang lengkap untuk berada di peringkat ini dengan semua trofi yang perlu diburu. Kami tahu apa yang perlu kami lakukan dan kami komited dengan cara kami bermain.
“Kami mempunyai tenaga dan motivasi, dan kami akan meneruskannya.”
Olmo menambah bahawa rancangan Inter untuk mengetatkankan kawalan terhadap Lamine Yamal tidak akan menghalang pemain sayap remaja Barca itu daripada terus melakukan kekacauan yang sama seperti minggu lalu.
Pemain berusia 17 tahun itu mengganggu pertahanan Inter yang di Stadium Olimpik, menjaringkan satu gol hebat dan menggegar gawang dua kali.
Jurulatih Inter, Simone Inzaghi turut mengakui bahawa Yamal akan menerima ‘perhatian khusus’ daripada barisan pertahanan Inter nanti.
“Itu bermakna kami akan mempunyai seorang pemain yang bebas. Lamine telah menunjukkan bahawa ia boleh menentang satu, dua atau tiga pemain pertahanan,” kata Olmo.
“Kami akan membantunya jika itu berlaku. Idea kami tidak akan berubah, jika dia mempunyai dua atau tiga kawalan padanya bermakna akan ada pemain lain yang bebas untuk kami.”
Pemenang esok akan menunggu sama ada Arsenal atau Paris Saint-Germain sebagai lawan di final Liga Juara-Juara di Munich akhir bulan ini. – AFP
