Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lewandowski Pemain Bola Sepak Terbaik Jerman

    BERLIN, 26 JULAI – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski diundi sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan Jerman buat tahun kedua berturut-turut kelmarin.

    Bintang Poland berusia 32 tahun itu sekali lagi menjadi pemain pilihan untuk memenangi anugerah tahunan itu oleh majalah bola sepak Kicker, susulan undian yang dilakukan wartawan.

    Lewandowski, yang menyamai rekod 49 tahun Gerd Mueller dengan meledak 41 gol Bundesliga semusim pada Mei lalu, menerima 356 daripada 563 jumlah undian.

    “Saya sedar betapa besarnya penghargaan ini. Ia adalah sebab kebanggaan dan kegembiraan buat saya, kerana sukar sekali untuk memenangi gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan di Jerman dua kali berturut-turut,” kata Lewandowski.

    Tempat kedua, Thomas Mueller dari Bayern Munich menyusul dengan 315 undi, sementara tempat ketiga milik Erling Haaland dari Borussia Dortmund, yang menerima 38 undian.

    “Sudah tentu saya gembira kerana menjaringkan 41 gol dalam 29 perlawanan Bundesliga. Jumlah jaringan ini membuatkan saya berasa bangga dan sememangnya ia pencapaian luar biasa,” kata Lewandowski, yang berehat tiga minggu pada penghujung Mac lalu kerana kecederaan lutut.

    Sejak menyertai Bayern pada 2014, Lewandowski meledak 203 gol dalam 219 perlawanan.

    Pada 2020-21, dia menjadi arkitek kepada kejuaraan ke-31 Bayern bagi Liga Jerman yang juga gelaran kesembilan Bundesliga berturut-turut. – AFP

    Robert Lewandowski diundi sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan Jerman buat tahun kedua berturut-turut. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda