BERLIN, 31 MAC – Robert Lewandowski akan terlepas kedua-dua aksi suku akhir apabila penyandang juara, Bayern Munich bakal berdepan Paris St Germain (PSG) di Liga Juara-Juara selepas dia mengalami kecederaan lutut yang memaksanya untuk berehat hampir sebulan.
“Penyerang kami tidak akan dapat beraksi lebih kurang empat minggu,” kata Bayern dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Lewandowski mengalami kecederaan ligamen di bahagian lutut kanan selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Poland membenam Andorra 3-0 di kelayakan Piala Dunia.
Pemain berusia 32 tahun juga akan terlepas aksi dua pasukan teratas Bundesliga menentang RB Leipzig Ahad depan, tatkala Bayern mendahului empat mata.
Lewandowski juga terlepas aksi antara Poland menentang England di Wembley awal pagi esok.
Bayern akan menanti kunjungan PSG pada separuh akhir pertama pada 7 April, sebelum berkunjung ke Parc des Princes enam hari kemudian.
Tanpa Lewandowski, penyerang simpanan Bayern, Eric Maxim Choupo Moting atau pemain sayap Jerman, Serge Gnabry akan menggalas tugas di barisan depan.
Pemain antarabangsa Poland itu sudah meledak 35 gol dalam 25 perlawanan liga musim ini untuk menghampiri rekod Gerd Muller yang menjaringkan 40 gol dalam satu musim di Bundesliga. – AFP
