BERLIN, 25 OGOS – Hero hatrik Robert Lewandowski memuji kekuatan skuad Bayern Munich selepas memastikan kemenangan 3-0 mengatasi Schalke awal pagi tadi, ketika pemain baharu Philippe Coutinho membuat kemunculan pertama Bundesliga buat gergasi Jerman itu.
“Skuad kami berada pada tahap maksimum ketika ini. Kami membawa masuk dua pemain yang bagus pada babak kedua hari ini, dan kami memerlukannya kerana kami bermain banyak perlawanan musim ini,” kata Lewandowski kepada Sky.
Coutinho yang dipinjam dari Barcelona, menggantikan Thomas Mueller pada minit ke-57 yang masuk bersama Ivan Perisic ketika Bayern sudah mendahului dua gol.
“Saya gembira berada di sini. Bola sepak di sini sangat sengit dan saya berada di sini tiga atau empat hari, jadi saya perlu bekerja keras,” kata Coutinho kepada Sky.
Bayern, yang tidak pernah tewas kepada Schalke dalam liga sejak 2010, mendahului menerusi penalti pada minit ke-20 minit.
Pertahanan kanan England, Jonjoe Kenny mengasari Kingsley Coman dan Lewandowski meledak melepasi Schalke buat kali kesembilan berturut-turut.
Penyerang Poland itu kemudian melencongkan bola menerusi sepakan percuma untuk menggandakan kelebihan sejurus babak kedua bermula.
Lewandowski melengkapkan permainan 15 minit sebelum tamat apabila mengatasi Salif Sane seterusnya melengkapkan tujuh hatrik Bundesliga sepanjang kariernya. – AFP
