Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lewotobi Laki-laki meletus, 10 terkorban

    FLORES TIMUR, 4 NOV – Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan memuntahkan bola api serta abu ke perkampungan di sekitarnya, kata pegawai hari ini ketika mereka menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.

    Gunung Lewotobi Laki-laki, gunung berapi kembar setinggi 1,703 meter di pulau Flores yang terkenal dalam kalangan pelancong, meletus sejurus tengah malam, memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk di beberapa perkampungan berdekatan.

    Penduduk menceritakan detik cemas apabila kawah mula memuntahkan batu-batu menyala ke arah kediaman mereka.

    “Ketika kejadian, saya sedang tidur apabila tiba-tiba katil bergoncang dua kali. Kemudian saya menyedari gunung berapi itu meletus, lalu saya segera berlari keluar,” kata Hermanus Mite, tukang gunting berusia 32 tahun.

    “Saya melihat api keluar dan segera melarikan diri. Abu dan batu berada di mana-mana. Salon saya juga terbakar dan semua barang di dalamnya hilang.”

    Abdul Muhari, jurucakap agensi mitigasi bencana negara (BNPB), mengesahkan jumlah kematian dalam sidang media, menambah bahawa 10,295 orang terjejas akibat letusan tersebut.

    Dia berkata jumlah mangsa yang dipindahkan masih dalam proses pengiraan. Rakaman yang diterima oleh AFP menunjukkan rumah-rumah berhampiran gunung berapi dilitupi dengan abu tebal, dengan beberapa kawasan terbakar.

    Seorang wartawan AFP berhampiran gunung berapi melaporkan bahawa lima buah perkampungan telah dikosongkan, memaksa ribuan orang mencari perlindungan di tempat lain. Beberapa buah rumah kayu terbakar, dan tanah dipenuhi dengan lubang akibat batu cair yang terbang. – AFP

    Gunung Lewotobi Laki-Laki memuntahkan lahar yang dapat dilihat dari Perkampungan Klatanlo, di Kabupaten Flores Timur, Nusa Tenggara Timur, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda