FLORES TIMUR, 7 NOV – Gunung berapi di Indonesia timur meletus tujuh kali hari ini, memuntahkan abu setinggi lima batu ke langit dengan diiringi petir, menyebabkan penduduk sekitar melarikan diri dalam keadaan panik.
Gunung Lewotobi Laki-Laki sebelum ini meletus pada Isnin dan Selasa, mengorbankan sembilan nyawa dan memaksa pemindahan penduduk dari zon pengecualian sejauh 7 kilometer.
Agensi gunung berapi negara itu melaporkan tujuh letusan hari ini, yang terbesar memuntahkan abu setinggi lapan kilometer, menurut pos pemerhatian.
Ada yang berkata ia adalah letusan terbesar yang pernah mereka saksikan dari Lewotobi Laki-Laki.
“Ini kali pertama saya melihat letusan sebesar ini sejak saya tinggal di kampung Lewolaga,” kata Anastasia Adriyani, 41, yang tinggal di luar zon pengecualian.
“Saya sedang memasak di dapur komuniti (untuk mangsa yang dipindah) apabila kejadian berlaku, saya berlari balik ke rumah. Saya sangat takut.”
Pihak berkuasa telah menaikkan tahap amaran bagi gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter di pulau pelancongan Flores itu ke tahap tertinggi.
Tiada laporan kerosakan segera dari kampung-kampung berhampiran akibat letusan baharu hari ini. – AFP