Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Lexus Brunei baru-baru ini telah memperkenalkan model terkenal dalam kalangan peminat kereta tahan lasak iaitu Lexus GX 550 generasi ketiga pada majlis di Bilik Pameran Lexus, Gadong.
Hadir menyempurnakan perasmiannya ialah Pengarah Urusan NBT Brunei, Haji Ahmad Omar bin Pehin Dato Haji Husin dan Pengurus Besar Lexus Brunei, Muhammad Clovien bin Abdullah Timpoh.
Lexus GX 550 2024 yang pertama kali berada di pasaran Brunei mempamerkan reka bentuk kotak yang merupakan trend zaman ini dalam dunia automotif iaitu sebuah SUV dengan struktur body-on-frame.
Generasi ketiga itu menawarkan keupayaan pemanduan yang sangat baik sambil kekal selesa dan selamat sebagai SUV mewah di jalan raya.
Secara keseluruhan, GX 550 baharu lebih besar berbanding model sebelumnya, dengan reka bentuknya adalah evolusi Next Chapter Lexus.
Ia dikuasakan enjin V6 3.4L twin turbo dengan 349hp dan tork 650Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan Direct Shift. GX mempunyai kapasiti menunda maksimum seberat 3628kg.
Bahagian dalam pula mengetengahkan kabin canggih dengan kokpit yang memfokuskan kepada pemandu. Bahan-bahan yang digunakan adalah kulit premium, kayu yang diukir dengan teliti, dan aksen logam yang menambahkan sentuhan mewah dan berkualiti tinggi.
Sistem infotainment didatangkan dengan skrin sentuh 12.3-inci yang besar, di samping sistem audio Mark Levinson dengan 17 pembesar suara, yang menjanjikan kualiti audio luar biasa.
Untuk pilihan warna, orang ramai boleh mengunjungi bilik pameran Lexus dan berjumpa dengan mana-mana wakil jualan.