SEOUL, 19 DIS – LG Electronics berkata pada kelmarin ia akan memperkenalkan antena lutsinar generasi seterusnya yang akan meningkatkan telekomunikasi untuk kereta pada CES 2024 akan datang, yang dijadualkan pada Januari di Las Vegas.
Antena jenis filem itu telah direka bentuk dengan kerjasama pengeluar kaca Perancis terkenal Saint-Gobain Sekurit, dan boleh didapati sebagai penyelesaian pada kaca atau dalam kaca, kata LG.
Menurut syarikat itu, antena lutsinar boleh disepadukan dengan lancar dalam cermin depan kereta atau bumbung kaca, bermakna pembuat kereta tidak perlu mempertimbangkan di mana untuk meletakkan antena konvensional semasa mereka bentuk kenderaan.
Aplikasi permukaan luas antena jenis filem menawarkan keserasian dengan pelbagai jenis reka bentuk kaca dan kenderaan, kata LG.
Teknologi telematik terkini juga telah dibuat untuk mengendalikan trafik rangkaian yang meningkat dan menjamin prestasi komunikasi yang boleh dipercayai, menawarkan sambungan yang lebih baik dengan sokongan untuk 5G, sistem satelit navigasi global dan Wi-Fi, tambah syarikat itu.
“Dicipta melalui perkongsian rapat kami dengan Saint-Gobain Sekurit, antena lutsinar ialah produk generasi akan datang yang telah membuktikan prestasi komunikasinya yang luar biasa untuk aplikasi automotif melalui ujian kenderaan,” kata presiden komponen LG Vehicle Solutions Co, Eun Seok-hyun.
“Sebagai peneraju global dalam penyelesaian telematik dan automotif, LG komited untuk memajukan keupayaan teknologinya dan akan terus memperkenalkan penyelesaian baharu yang memacu evolusi pengalaman mobiliti.”
Pengarah Inovasi dan R&D di Saint-Gobain Securit, Thibaut Heitz turut melahirkan rasa gembira atas pengenalan bersama kaca pintar mereka.
“Dengan kerjasama LG, peneraju dalam penyelesaian komponen kenderaan, kami merintis kemajuan dalam telekomunikasi kenderaan. Matlamat bersama kami adalah untuk menyediakan persekitaran dalam kenderaan yang diperkaya dan unik, membawa masa depan mobiliti menjadi kenyataan.” – ANN/The Korea Herald


