SINGAPURA, 26 JUN – Syarikat berasaskan ayam yang berpangkalan di Malaysia, Leong Hup International Bhd (LHI), merancang menjual produk makanan sedia di makan (RTE) di Singapura berdasarkan peningkatan permintaan berikutan pendapatan boleh guna yang tinggi dalam kalangan penduduk dan cara hidup mereka yang sibuk.
Semasa lawatan media ke kilang anak syarikat miliki 100 peratus LHI di republik itu, Leong Hup Singapore Ptd Ltd (LHS), syarikat itu berkata perbincangan sedang dijalankan dengan kedai serbaneka utama untuk memperkenal produk baharu di pasaran Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif LHS Lau Joo Hwa berkata setakat ini empat produk RTE di jual di kedai 7-eleven di Singapura dan syarikat itu menyasarkan untuk memperkenal beberapa produk baharu tahun ini.
“Kami juga dalam perbincangan dengan cawangan kedai serbaneka dan kedai-kedai lain (di Singapura) untuk mengembangkan segmen ini,” katanya kepada pemberita. Menurutnya, operasi di Singapura menyumbang 17 peratus perolehan keseluruhan kumpulan dalam tahun kewangan 2018, memberi fokus pada perkembangan perniagaan hiliran, antara lain membekalkan ayam segar kepada kedai makanan dan minuman, proses pembuatan sosej ayam dan ham, perapan dan separuh masak, ayam sejuk beku, bahagian ayam, daging lembu dan kambing serta RTE yang juga sedia di masak.
“Ketika ini, LHS mengendalikan empat kilang penyembelihan dan saham untuk pasaran ayam segar di Singapura ialah 50 peratus, membekalkan kepada pelbagai pelanggan termasuk KFC, Nandos, Jollibee dan Texas Chicken. “Kilang kami di sini menghasilkan 60,000 hingga 70,000 ayam segar setiap hari (Isnin hingga Sabtu) dan jumlah itu meningkat sekali ganda ketika musim perayaan. Kami tutup pada hari Ahad,” katanya.