KUALA LUMPUR, 21 MEI – Pemain boling wanita Malaysia, Sin Li Jane terlepas peluang untuk meraih gelaran ketiga di Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS) apabila menamatkan saingan sebagai naib juara kejohanan USBC Queens 2025, semalam.
Pemain berusia 33 tahun itu tewas tipis kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan Josie Barnes 198-211 dalam perlawanan akhir stepladder yang diadakan di Suncoast Hotel and Casino, Las Vegas.
“Saya bangga dengan pencapaian di kejohanan Queens kali ini. Banyak perlawanan terpaksa ditentukan hingga frame terakhir, saingan memang sangat sengit.
“Layak ke pusingan akhir (lima terbaik) merupakan satu pencapaian besar,” katanya dalam kenyataan dikongsi Kongres Tenpin Boling Malaysia hari ini.
Ini merupakan kali kedua Li Jane menamatkan saingan kejohanan berprestij itu selaku naib juara, dengan penampilan terakhirnya di final adalah pada 2016.
Pemain Terbaik PWBA 2024 itu telah memenangi Terbuka Wanita AS dan Kejohanan Jelajah PWBA sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain elit. – Bernama
