KUALA LUMPUR, 31 MEI – Pemain boling wanita Malaysia, Sin Li Jane merangkul gelaran ketiganya dalam siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat pada Khamis (Jumaat di Malaysia).
Menurut laman web rasmi PWBA, pemain berusia 32 tahun itu muncul juara Greater Nashville Classic di Pusat Boling Smyrna di Tennessee, menewaskan Cherie Tan dari Singapura 257-208 dalam aksi final.
Sebagai satu-satunya pemain yang memenangi dua gelaran musim ini, Li Jane kini mendahului dalam saingan Anugerah Pemain Terbaik PWBA setelah menjuarai Terbuka Journal Rockford pada 11 Mei.
“Cherie merupakan lawan yang hebat dan saya tahu bila-bila masa sahaja akan berdepan dengannya, pada masa itu markah pasti tinggi dan perlawanan akan sengit. Saya hanya fokus untuk menghasilkan lontaran yang terbaik. – Bernama
