Pelakon Malaysia, Lia Natalia tidak pernah rasa menyesal menolak semua tawaran berlakon semata-mata untuk menjaga bapanya iaitu Abden Aben yang diserang sakit jantung sejak November tahun lalu.
Menurut mStar, Lia atau Alia Afiqah Abden, 33, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang paling berharga apabila dapat menjaga bapanya itu sehingga ke akhir hayat.
“Hari pertama bapa diserang sakit jantung, jatuh tepat pada hari lahirku, 12 November.
Lima bulan bapa bertarung dengan kesakitan dan sepanjang itu aku ulang alik dari KL, Tawau dan Kota Kinabalu.
“Aku korbankan kerjaku tolak semua tawaran berlakon dan festival raya yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac yang akhirnya menjadi tarikh pemergian bapa.
“Tapi aku reda, aku ikhlas sebab Allah beri aku peluang paling berharga untuk menjaga bapa hingga ke nafas terakhir. Aku puas pak (panggilan bapa) langsung tiada penyesalan,” katanya.
Lia berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Lia memberitahu dia percaya setiap kebaikan dilakukan Allahyarham diberikan balasan baik termasuk pemergian di hari Jumaat pada bulan Ramadan.
Kata pelakon drama Dia Imamku itu, ketika hayat bapanya masih ada, Abden rajin melakukan amal sedekah.
Lia bagaimanapun sedikit terkilan tidak dapat menunaikan satu lagi permintaan arwah iaitu menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci Mekah. – Agensi
