Tuesday, November 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lia Suri Delicious sasar tembusi pasaran Asia Tenggara

    TAIPING – Perniagaan mi goreng dan kuetiau di pasar malam yang memerlukan sos cili sebagai antara bahan utama mencetuskan usahawan, Norlia Jaafar, 53, menghasilkan produk itu dalam skala besar.

    Langkah tersebut menjadi titik tolak pengembangan perniagaannya di bawah jenama Lia Suri Delicious sejak 14 tahun lepas.

    “Apabila kegunaannya banyak, kos pembelian yang perlu dikeluarkan juga tinggi. Oleh itu, untuk menjimatkan kos pembelian, saya memutuskan untuk belajar membuat sos cili buatan sendiri di rumah,” katanya kepada Bernama di bengkel miliknya yang terletak di Kampung Batu Tegoh, Simpang.

    Tanpa menoleh ke belakang lagi, katanya beliau nekad mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 untuk menyewa bengkel yang dilengkapi dengan beberapa peralatan perniagaan di kawasan Nibong tebal, Pulau Pinang.

    “Pada 2011, saya menyewa bengkel dan dengan modal perniagaan, saya membeli peralatan seperti periuk stim, mesin pengisar cili dan kemudahan lain untuk menghasilkan sos cili dalam skala lebih besar,” katanya.

    Norlia melakukan proses terakhir pembungkusan produk sos dan kicap yang dibuat sebelum dipasarkan dibengkel miliknya yang terletak di Kampung Batu Tegoh. – Bernama
    Proses membungkus sos cili menggunakan mini botol. – Bernama
    Proses membuat sos cili dibengkel milik Lia Suri Delicious. – Bernama

    Norlia berkata sepanjang sembilan tahun beroperasi di bengkel tersebut, syarikatnya mampu menghasilkan kira-kira 400 hingga 500 kilogram sos cili sehari berdasarkan permintaan dan tempahan sama ada secara dalam talian atau pembelian secara terus oleh pelanggan.

    Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah, perniagaan yang diusahakan oleh Norlia itu berdepan cabaran dan terpaksa dihentikan seketika berikutan pandemik COVID-19 pada 2019.

    Menurutnya, meskipun perniagaannya terjejas, ia tidak mematahkan semangatnya, malah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Batu Tegoh, Simpang dan membina semula perniagaan di tanah pusaka milik keluarganya pada awal Februari 2020.

    Katanya modal daripada simpanan peribadi berjumlah RM150,000 digunakan untuk membuka bengkel yang dilengkapi tiga bahagian utama terdiri daripada tempat pemprosesan, pembungkusan dan pengeluaran produk.

    “Alhamdulillah, sejak membina semula perniagaan di sini, saya mampu memasarkan produk sos cili ini sekitar 1.5 tan bersamaan dengan 1,500 botol pada harga RM6 bagi kuantiti sekilogram sehari.

    “Peningkatan (jualan) mendadak ini berlaku selepas saya menggunakan platform media sosial terutamanya TikTok untuk meningkatkan pendapatan.

    “Buat masa ini, platform media sosial yang banyak membantu kami untuk mendapatkan pelanggan dari seluruh negara selain pasaran konvensional yang tertumpu kepada peniaga dan penjaja kecil di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

    Mengulas keistimewaan sos cili keluarannya, beliau berkata selain harga yang berpatutan, produk berkenaan juga dihasilkan daripada ramuan asli terdiri daripada cili kering dan bawang putih yang diperoleh setiap dua hari sekali daripada pemborong.

    “Saya tidak pernah pakai serbuk cili atau bahan yang telah diproses sebaliknya kita menggunakan ramuan bahan mentah yang asli dan diperoleh daripada pemborong di sini,” katanya.

    Norlia berkata selain sos cili, syarikat miliknya turut mengeluarkan produk seperti sos tomato, kicap lemak manis, kicap pedas manis, sos tiram dan sabun bidara dengan harga yang ditawarkan bermula daripada RM5.50 hingga RM8.

    Mengenai perancangan masa depan, beliau berharap mana-mana agensi yang berkaitan dapat membantunya mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran Asia Tenggara.

    “Buat masa ini, saya hanya sekali mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian Perak. Sumbangan itu adalah lebih kepada proses pembaikan bengkel.

    “Saya berharap dengan apa yang ada ini, mampu membuka mata mana-mana agensi untuk membantu mengembangkan perniagaan ini ke negara serantau,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda