Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liam Payne bergelut dengan tiga pekerja hotel sebelum maut

    Selepas sebulan siasatan, pihak berkuasa menemui petunjuk baharu berhubung insiden kematian mendiang Liam Payne di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina pada 16 Oktober lalu.

    TMZ melaporkan Liam didakwa cuba membebaskan diri dari bilik hotel didiaminya sebelum maut akibat terjatuh daripada tingkat tiga.

    Menerusi rakaman litar tertutup CCTV, Liam dilihat dibawa oleh tiga orang pekerja hotel ke dalam biliknya sebelum ditinggalkan bersendirian.

    Ketika kejadian, Liam dikatakan bergelut dengan pekerja hotel berkenaan kerana enggan masuk ke dalam bilik sehingga memaksa mereka menguncinya dari luar.

    Penyanyi itu turut mengugut untuk melepaskan diri melalui balkoni, namun ugutan berkenaan tidak dihiraukan pekerja tersebut.

    Liam dikatakan maut selepas cuba melarikan diri daripada bilik hotel didiaminya. – mStar

    Bukan itu sahaja, cermin kaca pada dinding dilaporkan dibawa keluar kerana bimbang ia dipecahkan penyanyi tersebut.

    Beberapa minit kemudian, pekerja hotel berkenaan bertindak menghubungi talian kecemasan kerana bimbang penyanyi itu akan mencederakan dirinya sendiri.

    “Saya tak tahu sama ada dia dalam bahaya atau tidak. Dia dalam bilik yang ada balkoni dan kami takut sebarang kemungkinan berlaku,” lapor salah seorang pekerja hotel.

    Teori berkenaan dikuatkan selepas pihak polis menemui beg milik penyanyi itu di balkoni tingkat dua selepas kejadian.

    Punca kematian Liam bagaimanapun belum disahkan lagi namun pihak polis tidak menolak ada kaitan dengan dadah dan minuman alkohol.

    Liam disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Amersham, Buckinghamshire dekat London pada 20 November lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda