Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 1 NOV – Sebagai misi untuk membantu meringankan beban masyarakat di negara ini, Kumpulan Libasan Amal telah meneruskan aktiviti berkebajikan dengan mengadakan kerja-kerja memotong rumput di Sekolah Chung Hwa Kiudang, Daerah Tutong, pagi tadi.
Kumpulan yang terdiri daripada 10 orang ahli tersebut telah diketuai oleh Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim yang juga salah seorang ahli kumpulan berkenaan.
Kewujudan kumpulan diharap memudahkan dan membantu pihak-pihak tertentu khususnya pihak kerajaan dan swasta dalam menjaga kebersihan alam sekitar sekali gus memupuk sikap tidak camah mata dan tidak bergantung sepenuhnya dengan pihak kerajaan semata-mata.
Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelbagai agensi dan penduduk sekitarnya selain menggalakkan orang kampung sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar sekali gus mendidik diri agar sentiasa menanamkan semangat kesukarelawan.
Kumpulan Libasan Amal semakin bergiat aktif bergotong-royong dalam menjalankan kempen kebersihan terutama memotong rumput di tempat-tempat yang diperlukan seperti di kawasan sekolah-sekolah dan masjid.
