Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Yang Berhormat Chong Chin Yee, dalam perbahasan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan, 2025/2026 pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini telah menyentuh beberapa perkara dan salah satu perkara yang dibangkitkan melibatkan belia dalam perancangan ekonomi negara.
Dalam perbahasan tersebut, Yang Berhormat Chong Chin Yee telah mengemukakan persoalan sejauh mana pandangan golongan belia telah diberi pertimbangan dan sama ada terdapat sebarang inisiatif untuk mensosialisasikan belanjawan yang diperuntukkan kepada golongan belia.
“Bagi pandangan belia, soalan paling penting adalah berapa banyak pekerjaan akan diwujudkan daripada belanjawan ini,” tegasnya.
Yang Berhormat Chong Chin Yee turut menegaskan belia Brunei tidak kekurangan idea, semangat atau cita-cita.
“Kita harus mengambil tindakan untuk melibatkan belia negara dalam perbincangan berkaitan masa depan negara dan suara mereka perlu didengar, diberi penglibatan dan diberi semangat,” kata beliau.


Dalam perbahasan tersebut, selain membangkitkan status Kongres Belia Negara yang hanya diadakan dua kali sejak tahun 2008, beliau ingin mengetahui sebabnya.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan Youth Town Hall, sama ada terdapat tindakan untuk menyediakan satu dana pembangunan belia, di samping skim perkasa, khususnya untuk inisiatif-inisiatif tersebut serta mengunjungi pelbagai organisasi belia untuk penganjurannya.
“Kita telah memperoleh mentor program seperti BMEN untuk usahawan tetapi bagaimana dengan industri berlainan seperti sektor ICT, kreatif, profesional dan bidang teknikal,” tambahnya,
Kebanyakan inisiatif tersedia di luar perniagaan dipimpin oleh belia, yang walaupun dihargai masih terdapat kekurangan pengalaman dan pandangan industri yang hanya boleh diberikan oleh profesional senior.
“Jika kita benar-benar percaya bahawa masa depan adalah milik generasi akan datang, maka marilah kita membuktikan, bukan hanya melalui perkataan tetapi melalui tindakan dan reformasi struktural yang boleh mengiktiraf belia bukan sahaja sebagai penerima faedah, tetapi sebagai peserta aktif dalam membentuk masa depan ekonomi Brunei Darussalam,” tegas beliau.