DAHULU, ketika Islam belum bertapak teguh melalui dakwah, masyarakat terdedah dengan pelbagai amalan khurafat yang menyesatkan. Hidup mereka dipandu oleh alam yang disifatkan sebagai ‘berkuasa’ dalam menentukan hidup seseorang. Mereka percaya bahawa elemen seperti bintang, bulan, angin, laut, gunung dan sebagainya mempunyai penjaga.
Khurafat yang kejam
Rujukan masyarakat pada waktu itu hanyalah nenek moyang yang mana sangat kuat berpegang dengan kepercayaan mereka sehingga pada satu tahap, anak sendiri pun sanggup dikorbankan demi menjaga hati ‘penjaga’ yang mereka takuti.
Sebagai contoh, anak dara yang terpilih akan dihumbankan ke dalam gaung untuk santapan makhluk ghaib agar gunung berapi tidak meletus. Haiwan seperti lembu dan kambing juga dilempar ke laut untuk makanan penjaga laut. Amat malangnya, amalan seperti ini masih lagi berlaku di sesetengah negara Islam.
Zodiak
Hari ini, Islam berkembang dengan meluas. Islam menjaga segenap segi kebajikan dan keperluan penganutnya agar terus berada di landasan iman dan tidak sesekali tergelincir ke lembah kesyirikan.
Namun, amat sedih apabila segelintir penganutnya masih dilemahkan dengan ramalan-ramalan bintang yang menyesatkan. Kita sedia arif, sebagai umat Islam yang mengakui akan kebesaran Allah, tidak kuasa lain mampu mentakdirkan sesuatu perkara. Soal jodoh, rezeki, maut dan nasib di akhirat… semuanya dalam pengetahuan Allah.
Kita hanya diberikan ilmu untuk meramal cuaca melalui sains dan kajian ilmiah tetapi bukan untung rugi nasib seseorang. Ia bukan soal suka-suka atau main-main. Isu ini amat serius kerana melibatkan aqidah! Yakinlah sahaja pada qadak dan qadar sebagai rukum iman.
Penyakit ramalan
Perlawanan bola sepak pun nak berjudi. Harta kekayaan juga ingin diraih dengan nombor ekor! Itulah akibatnya apabila taksub dengan ramalan dan perkara atas angin. Sedih apabila umat Islam terlibat. Juga sedih bagi golongan remaja yang masih bersekolah.
Perkara sepenting peperiksaan juga ditentukan melalui lambung dadu untuk mencari jawapan bagi soalan objektif a,b,c atau d. Ia lambang kepada bangsa yang mundur, malas dan tidak ada semangat perjuangan tinggi.
Diskusi ilmiah
Islam membenarkan perbincangan untuk memajukan diri. Bukan meramal kosong tanpa ilmu. Boleh jadi ilmu itu boleh diperoleh melalui pemerhatian, poenyelidikan dan pertanyaan yang berpandukan pengalaman atau kepakaran seseorang. Contoh:
Pelajar bertanyakan pensyarah bagaimana dengan industri berteraskan nano teknologi. Apakah industri itu akan terus berkembang atau hanya bersifat sementara? Pelajar mahu tahu ‘ramalan’ pensyarah tersebut berdasarkan ilmu dan penglibatannya yang luas. Maka pensyarah pun menunjukkan bukti kajian dan prospek pasaran kerja untuk kefahaman pelajar. Inilah ‘ramalan’ yang kita mahu. Tiada kaitan dengan bintang dan ramalan kosong. Semuanya berpandukan gerak kerja saintifik dan ilmiah.
Permainan syaitan
Syaitan bertepuk tangan saat kita lemah dengan perkara sebegini. Syaitan mahu kita sentiasa berdebar dan waswas terhadap kemampuan diri. Kita mudah menjadi hamba makhluk Allah yang ‘jahat’ ini. Banyak tindakan tidak bertamadun akan menjerat diri.
Kita tidak mahu ada yang membunuh diri hanya kerana mendengar ramalan orang. Semata-mata takut dengan masa depan. Semata-mata risau akan rezeki. Hanya semata-mata gagal menilai rahmat Allah yang luas terbentang!