Saturday, May 3, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liek Hou, Muhammad Fareez makin serasi

    KUALA LUMPUR, 9 OGOS – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mengakui semakin serasi beraksi bersama Muhammad Fareez Anuar bagi acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

    Sejak digandingkan tahun lepas, Liek Hou berkata beliau gembira melihat perkembangan positif dilakar bersama Muhammad Fareez apabila berjaya menggondol empat gelaran antarabangsa termasuk dua kejuaraan tahun ini iaitu Kejohanan Badminton Para Sepanyol Antarabangsa II dan Kejohanan Badminton Para Brazil.

    Sehubungan itu, juara bertahan Sukan Paralimpik itu berkata beliau akan cuba meneruskan kemaraan mereka dengan beraksi pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, Oktober ini.

    Katanya, mereka yang kini bergelar pasangan nombor dua terbaik dunia kategori tersebut berharap sekurang-kurangnya mampu ke final pada aksi di Hangzhou nanti.

    “Jika menang emas, pastinya ia satu bonus bagi kami,” katanya kepada Bernama.

    Liek Hou sebelum ini pernah meraih emas beregu lelaki SU5 Sukan Para Asia dua kali berturut-turut bersama Suhalli Laiman pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan seterusnya di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

    Dalam pada itu, pemain berusia 35 tahun itu berkata impian merampas semula emas perseorangan lelaki SU5 daripada musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, tetap menjadi fokus utama pada Sukan Para Asia 2022. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda