Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Arab gesa campur tangan global atasi krisis kemanusiaan di Gaza

    KAHERAH, 17 MAC – Jawatankuasa Piagam Hak Asasi Manusia Arab (AHRC) di bawah Liga Arab menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta wilayah lain yang mengalami pencabulan hak asasi manusia yang serius.

    Menurut agensi berita Qatar (QNA), jawatankuasa itu menyeru tindakan segera bagi menghentikan pencabulan berkenaan, menyampaikan bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa yang terjejas dan memastikan kebertanggungjawaban pihak pelaku.

    Dalam satu kenyataan sempena Hari Hak Asasi Manusia Arab, jawatankuasa itu menekankan bahawa tema tahun ini, ‘Hak terhadap Makanan’, mencerminkan cabaran mendesak yang dihadapi rantau Arab, khususnya ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing.

    Dalam konteks ini, jawatankuasa berkenaan menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza, dengan kekurangan bekalan makanan dan sumber asas masih berterusan, sekali gus memerlukan usaha bersepadu antara dunia Arab dan antarabangsa bagi memastikan hak asasi manusia, termasuk hak terhadap makanan, terus terpelihara.

    Jawatankuasa itu menegaskan bahawa Piagam Hak Asasi Manusia Arab menjadi asas kepada rangka kerja hak asasi manusia dalam Liga Arab, sekali gus merupakan satu-satunya dokumen yang mengikat secara undang-undang bagi perlindungan dan mempromosikan hak asasi manusia di dunia Arab.

    Sambil memuji usaha negara-negara pihak kepada piagam itu dalam memenuhi tanggungjawab mereka, jawatankuasa berkenaan menyeru kerjasama dan penyelarasan lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan. Ia turut menegaskan kepentingan merealisasikan hak terhadap makanan sebagai hak asasi utama yang berkait rapat dengan hak untuk hidup dan maruah manusia. – Bernama

    Seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil membawa makanan di hadapan bangunan yang musnah di Beit Lahia, utara Gaza pada 15 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda